<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://draft.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d5430080150187995293\x26blogName\x3dBB2008-azzaaaah\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://bb2008-azzaaaah.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://bb2008-azzaaaah.blogspot.com/\x26vt\x3d150143626431066011', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe", messageHandlersFilter: gapi.iframes.CROSS_ORIGIN_IFRAMES_FILTER, messageHandlers: { 'blogger-ping': function() {} } }); } }); </script>

Saturday, July 26, 2008

Selamat pagi kawan-kawan!

Saya baru sahaja habis membaca buku "The Babysitters Club". Saya mengambil masa 4 hari untuk membaca buku itu! Walaupun 4 hari nampaknya seperti lama, pada saya ia sangat cepat kerana dahulu saya akan mengambil masa seminggu untuk menghabiskan sebuah buku cerita.

Saya sangat berminat membaca buku cerita. Ini kerana saya sangat ghairah apabila membaca segala adegan yang berlaku dalam cerita itu. Walaupun saya hanya membaca cerita tersebut, saya seakan-akan boleh membayangkan perkara itu terjadi. Kadang-kadang, saya ketawa sendiri apabila ada sesuatu yang lucu terjadi dan saya juga boleh ternangis apabila ada sesuatu yang menyedihkan berlaku dalam cerita tersebut.

Oleh kerana saya suka membaca, saya selalu meminjam buku dari perpustakaan sekolah. Saya tidak ingin membeli buku-buku tersebut kerana saya tidak mahu membazir duit kerana saya boleh sahaja meminjam dari perpustakaan. Betul tak? Namun, saya harus memastikan bahawa saya menghantar semula buku-buku yang saya pinjam tepat pada masanya agar tidak dikena hukuman dan harus membayar.

Baiklah semua, saya ingin mula membaca buku yang baru! "Lizzie Mcguire". Wah, tentu seronok ya! :D


Razzah.

Thursday, July 24, 2008

Assalamualaikum semua!

Malam ini, saya hendak berkongsi kegemaran saya iaitu menulis lirik lagu.

Setiap malam, saya akan pergi ke bilik dan menulis lirik lagu. Lagu yang saya tulis itu berkisahkan apa-apa sahaja yang saya fikirkan pada saat itu. Sebagai contoh, semalam saya ternampak yoyo saya yang sudah lama saya miliki di dalam almari. Lalu, saya pun secara spontan menyanyikan lagu yang berbunyi begini:

Yo yo!
Aku suka bermain yoyo!
Jika engkau belikan aku,
Aku akan sentiasa gembira!

Oh mari bermain
di depan rumahku
Oh oh oh~
Jangan pernah
engkau ketawakan aku!

Hah, macam mana kawan-kawan? Rasa-rasanya, Siti Nurhaliza hendak menyanyikan lagu ini untuk saya ke tidak ya? Hmm..


Razzah.

Wednesday, July 23, 2008

Selamat malam semua!

Petang tadi, saya telah berbasikal di sekitar rumah saya. Saya sungguh riang kerana mengayuh basikal dapat melegakan tekanan saya setelah habis menyelesaikan kerja sekolah.

Basikal saya sangat cantik. Ia berwarna biru, kuning dan hitam. Basikal itu dihadiahkan oleh ibu bapa saya semasa hari jadi saya yang ke 8. Oleh itu, basikal itu sekarang sudah berumur hampir 2 tahun! Walaupun basikal itu sudah tua, saya masih menyukainya kerana keadaannya masih baik.

Walau bagaimana pun, jika saya mengumpul duit yang banyak sekali semasa hari raya nanti, saya teringin hendak membeli basikal baru dan basikal yang saya punyai sekarang akan diberikan kepada Emilia Maisarah, anak saudara saya. Saya pasti Lia akan kelihatan comel semasa menaiki basikal itu! Wah, tidak sabarlah saya!

Bagi saya, berbasikal itu adalah sangat baik kerana ia salah satu daripada cara bersenam. Dengan berbasikal, saya dapat menyedut udara segar jadi saya tidak akan ngantuk. Saya juga dapat menjenguk-jenguk ke dalam rumah jiran tetangga. Seronok kan!

Esok, saya akan mengambil gambar basikal saya dan saya akan tunjukkan kepada kawan-kawan semua ya. Jangan lupa kunjungi lelaman saya esok!

Bye, saya nak tidur!


Razzah.

Tuesday, July 22, 2008

Hi rakan-rakan.

Saya suka melukis gambar. saya pandai melukis pelbagai gambar seperti permaisuri, spongebob squarepants dan macam-macam lagi. saya ada bermacam-macam alat tulis seperti krayon, pensel warna dan juga pen berkilat. Oleh itu, dengan menggunakan pelbagai alat-alat tulis seperti itu, gambar lukisan saya menjadi lebih cantik dan berseri.

Saya telah banyak kali melukis gambar ibu bapa saya dan mewarnakannya supaya ia kelihatan sangat cantik. Selepas itu, saya memberikan lukisan itu kepada kedua ibu-bapa saya. Saya sangat gembira apabila mereka tersenyum lebar apabila saya memberikan lukisan itu kepada mereka. Saya rasa mereka tentu sangat gembira dengan lukisan itu kerana saya akan menulis "I love you mama and papa" di tepi lukisan itu.



Di sekolah, saya selalu mendapat pujian dari cikgu kerana lukisan saya cantik dan menarik. Saya sangat bangga kerana saya mendapat A untuk ujian lukisan. Walaupun saya sudah besar nanti, saya akan tetap melukis di waktu lapang kerana ia membuat saya gembira dan saya akan tetap melukiskan gambar untuk ibu bapa saya supaya mereka sentiasa gembira.



berikut adalah gambar yang saya baru lukiskan.








macam mana? ok tak? (:


Razzah.

Monday, July 14, 2008

Hello rakan -rakan.

Saya gemar bermain komputer kerana ia dapat menggembirakan saya. Jika saya ada masa, saya selalu bermain permainan di komputer seperti barbiegirls , y8, miniclip dan macam-macam lagi.Dalam semua permainan yang saya pernah main,yang paling menarik perhatian saya ialah barbiegirls.

Ini kerana, saya sangat terhibur apabila bermain barbiegirls. Dalam permainan itu, kita harus mengumpul wang hingga banyak untuk membelikan barbie itu benda seperti pakaian, kasut dan macam-macam lagi. Tetapi sayangnya, kita harus meminta izin ibu bapa kita dulu sebelum mendaftar. Maaf eh kalau saya tidak memberitahu siapa nama barbie saya kerana saya terlupa apa namanya.

Okaylah ini masa saya untuk tidur. bye!!


Razzah.

Sunday, July 13, 2008

helo!

hari ini saya hendak berkongsi tentang kegemaran saya seterusnya iaitu menonton televisyen. Semasa masa lapang saya (dan setelah menghabiskan kerja-kerja sekolah), saya selalu menekan butang televisyen dan menontonnya. Saya gemar menonton kartun, komedi dan juga sinetron Indonesia.

Salah satu daripada sinetron-sinetron yang saya gemar ialah "Bawang Merah Bawang Putih" yang sedang disiarkan di saluran Sensasi sekarang. Sinetron ini selalu disiarkan dari hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 9malam. Saya suka menonton Bawang Merah Bawang Putih kerana saya ingin belajar bertutur dalam bahasa Indonesia yang lebih kurang sama dengan bahasa melayu. Saya suka mendengar orang Indonesia berbual kerana suara mereka lembut dan sedap didengar. Saya harap satu hari nanti saya akan berjaya mempelajari bahasa Indonesia.

Selain itu, saya juga suka menonton "Spongebob Squarepants" di Nickelodean. Tiap kali ia disiarkan di televisyen, saya akan memekik "Hooray!" kerana saya gembira sekali. Pada pendapat saya, Spongebob sangat comel dan cerdik manakala Patrick tidak secerdik Spongebob. Saya sangat menyukai kartun Spongebob Squarepants sehingga saya membeli keychain yang berbentuk Spongebob. Tetapi, keychain itu sudah hilang dan saya berasa sangat sedih. :( Saya harap agar seseorang akan membelikan saya keychain spongebob dan patrick untuk hari jadi saya iaitu pada 20 November.

Walaupun saya sangat suka menonton televisyen, saya akan memastikan bahawa saya sudah melengkapkan semua kerja sekolah agar guru saya tidak akan memarahi saya.

Baiklah, bye kawan-kawan! Saya hendak menonton televisyen sekarang!


Razzah.

Thursday, July 10, 2008

Hi kawan-kawan!

Kali ini, saya ingin berkongsi satu lagi kegemaran saya iaitu menyanyi. Sejak kecil lagi, saya memang sudah meminati bidang nyanyian. Pada saya, menyanyi itu dapat menyegarkan saya dan saya gembira kerana dapat menghiburkan orang ramai.

Lagu pertama yang saya suka ialah lagu "twinkle twinkle little star" yang selalu saya nyanyikan bersama kawan-kawan semasa tadika. Lagu itu bukan sahaja menggelikan hati tetapi ia juga dapat mendodoi saya sehingga saya tidur. Oleh itu, walaupun lagu ini sudah lama, ia masih tetap menjadi lagu kegemaran saya dan saya sering juga menyanyikannya.

Keluarga saya selalu berkaraoke bersama-sama sesama waktu lapang. Ia sudah menjadi kebiasaan bagi kami untuk meluangkan masa dengan berkaraoke beramai-ramai supaya kami dapat menenangkan fikiran dan tidak memikirkan kerja ataupun sekolah. Saya juga selalu juga bernyanyi.

Penyanyi yang saya suka ialah Rossa, Achik dan Nana. Ini kerana suara mereka sangat merdu dan sedap didengar. Saya selalu mendengarkan lagu-lagu yang mereka dendangkan dan saya juga akan cuba menyanyikannya.

Entri saya kali ini lebih menarik kerana saya telah merakamkan sebuah video yang mempamerkan kegemaran saya iaitu...menyanyi! Tontonlah video saya ini dan semoga anda terhibur!

Bagaimana persembahan saya tadi? Kalau sedap, belilah CD saya kalau saya menjadi penyanyi suatu hari nanti ya! hehe.

Selamat malam semua!


Razzah.

Wednesday, July 9, 2008

Hello lagi kepada kamu semua.

Hari ini saya ingin berkongsi tentang kegemaran saya seterusnya iaitu mengumpul stiker.Saya mengumpul stiker sejak dari kecil lagi kerana pada saya ia sungguh cantik dan comel. Saya rasa saya sudah mengumpul beberapa puluh stiker. Saya meletakkan stiker itu di fail yang saya tidak guna untuk sekolah.

Saya membeli semua stiker itu di pasar malam, Whitesands dan juga di sekolah. Jika ibu saya mendapat duit kerja, ibu saya akan pasti membelikan saya stiker. Saya berasa sangat gembira apabila ibu saya membelikan stiker baru untuk saya! Saya sangat berterima kasih kepadanya.

Saya ada pelbagai jenis stiker seperti hello kitty, bratz, princess, spongebob, strawberry shortcake, barbie dan macam-macam lagi. Saya akan mengumpul duit sekolah supaya saya dapat membeli stiker lebih banyak dari sekarang agar koleksi stiker saya akan bertambah.


Razzah.

Tuesday, July 8, 2008

sekali lagi, hello semua....


Kali ini saya ingin memberi tahu apa kegemaran saya iaitu berjoget. Saya adalah seorang anggota tarian Melayu di sekolah. Saya telah menganggotainya sejak saya berada di darjah 3. Saya ingin memasuki aktiviti itu kerana saya suka berjoget.

Saya suka berjoget kerana saya suka melihat kakak saya menari. Disebabkan itu, saya juga suka menari kerana ia sangat menarik dan menghiburkan. Saya juga gemar menari kerana kami akan disuruh untuk senyum dengan manis sepanjang tarian itu berlangsung.

Nama pelatih tarian saya ialah Abang azri. Dia sangat pandai berjoget. Oleh itu, saya ingin menjadi sepertinya.

Tahun ini, sekolah saya telah mengambil bahagian dalam Pertandingan Belia Singapura (SYF) dan kami telah mendapat pingat gangsa. Walaupun saya berasa kecewa dan sedih, saya tetap gembira kerana kerja keras kami membuahkan hasil.

Menari adalah sangat menyeronokkan. Saya harap kawan-kawan juga akan suka menari!


Razzah.

Sunday, July 6, 2008

hello.....

hari ini, saya ingin memberitahu sukan kegemaran saya iaitu berenang! saya amat gembira dan ghairah kerana saya telah pergi berenang di Kolam Renang Tampines bersama guru dan rakan-rakan saya. Saya tidak sabar untuk berenang lagi di sana lagi minggu depan kerana memasuki kelas berenang di sekolah.

Saya mempunyai dua baju renang. Baju renang saya yang pertama berwarna hitam dan putih. Baju renang saya yang kedua pula berwarna hijau, hitam dan biru. Namun, saya lebih suka baju renang saya yang kedua kerana baju renang yang pertama sangat seksi. Lagipun, baju renang saya yang kedua lebih membuat saya selesa.

Saya suka berenang kerana saya suka bermain dengan air. Saya suka berenang di kolam air yang sesuai dengan ketinggian saya iaitu 145sentimeter. Saya paling suka berenang apabila cuaca panas kerana di dalam air, saya akan rasa sangat sejuk.

Tetapi, saya tidak boleh berenang terlalu lama kerana jika saya berenang terlalu lama, jari saya akan berkedut dan kulit saya akan gelap. Oleh itu, mama saya akan menyuruh saya berhenti berenang setelah 2 jam. Walaupun saya sedih kerana harus berhenti berenang, saya berasa sangat puas hati kerana dapat berenang! Lagipun, bibik saya akan selalu membuatkan saya roti telur yang sangat saya minati. Jadi, saya tidak sedih lagi!

Saya tidak sabarlah hendak pergi berenang minggu depan!


Razzah.

Saturday, July 5, 2008

hello semua!

Nama saya Nur Razzah! Saya berumur 10 tahun dan saya bersekolah di Sekolah Rendah Park View.

Tolong baca blog saya selalu ok!


Razzah.




Nur Razzah Bte M.A.Razib
10 tahun
20/11/1998
Sekolah Rendah Park View



ARKIB


  • July 2008






  • Designer: Phyllis :D
    Web host: X
    Image: X
    Image host: X
    Fonts: X
    Brushes: X X